Tuesday 23 May 2017

Cerpen - Surat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum

Mentor online: Masayu Ahmad
Teks : Noraziah Othman
Karya : Noraziah Othman

23.5.2017

          Ketukan kuat pintu bilik mengejutkan Sheila dan rakan-rakannya yang sedang sibuk membetulkan selendang putih dan mengenakan solekan sambil mengusik-usiknya. Malam ini Sheila akan diijabkabulkan dengan pemuda pilihan hatinya, Sabri.

          Pintu dikuak dan Liza, sahabat baik Sheila berdiri di depan pintu. Sheila memandangnya menerusi cermin muka di hadapan sambil tersenyum.

          "Tutuplah pintu tu, Liza. Bising sangat di luar tu. Nanti budak-budak sibuk nak masuk," arah Sarimah yang sedang mendandan Sheila.

          "Sheila, aku nak minta maaf. Siang tadi aku terlalu sibuk sampai terlupa nak sampaikan surat ni," ujar Liza dengan wajah yang murung. Dia menghulurkan sepucuk surat berwarna merah jambu.

          Berderau darah Sheila melihatkan sampul yang amat dikenalinya. Tulisan tangan di luar sampul menguatkan lagi tekaannya.

          "Boleh awak semua keluar sebentar?" bergetar suara Sheila menahan sendu.

          Mereka keluar dengan hairan melihat wajah muram Sheila kecuali Liza. Dia hanya bersandar di pintu yang baru ditutup rapat.

          Terketar-ketar Sheila membuka sampul lalu membacanya dengan pantas. Matanya mulai digenangi air. Perlahan-lahan empangan yang cuba ditahan pecah. Berderai-derai air mata membasahu pipi merahnya. Didakapnya surat itu serapat-rapat ke dada.

          Liza segera memeluk Sheila yang mulai teresak-esak. Dia melurut-lurut belakang Sheila agar bersabar. Liza menarik surat dari genggam Sheila dan membacanya dengan tenang.

          "Assalamualaikum. Menemui kembali sahabatku Sheila yang disayangi. Maafkan Nwar kerana begitu lama tidak menghantar khabar buat Sheila. Katalah apa sahaja, Nwar terima kerana Nwar tahu Nwar telah melukakan hati Sheila.
          Sebenarnya Nwar telah lama memikirkan hal persahabatan kita ini. Nwar tahu walaupun kita ingin ianya berkekalan ke akhir hayat namin pada suatu ketika nanti harapan kita tidak dapat dilaksanakan setelah salah seorang dari kita dimiliki oleh orang lain.
          Sheila,
          Nwar ingin jalinan yang kita ikatkan bersama selama 4 tahun ini terus kekal. Oleh itu, di sini ingin Nwar menyoal Sheila. Apakah Sheila sudi bersama-sama mengharungi liku-liku hidup bersama Nwar? Sudikah Sheila menghabiskan usia Sheila bersama Nwar?
          Sheila yang kucintai,
          Walaupun Nwar tidak pernah meluahkan perasaan terhadap Sheila tapi percayalah, Nwar telah jatuh hati sejak 2 tahin yang lalu. Hanya Nwar takut mencemari tali persahabatan yang Sheila hulurkan. Tapi Nwar seorang insan yang lemah tidak dapat menahan perasaan Nwar sekarang."

          Liza memandang ke arah Sheila yang telahpun mulai reda tangisannya. Surat tadi diberikan semula kepada Sheila.

          Sheila melipatkan surat dengan hati-hati. " Dia terlambat. Aku telah lama menunggu surat sebegini. Tapi Sabri mendahuluinya. Aku telah berjanji pada diriku akan menerima sesiapa yang masuk meminangku dahulu. Liza kau mungkim menganggap aku gila, tapi.... bolehkah aku... membatalkan majlis ini?"

          Liza terkejut mendengar ucapan Sheila. Barulah dia faham rupanya Sheila mencintai Anwar. Dia hanya menggeleng.

          Sheila tersenyum tawar. Dia menyimpan surat tersebut di dalam sebuah kotak yang diselitkan dibawah lipatan baju-bajunya.





       

No comments:

Post a Comment

Entri 44 saya

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum wbt Mentor online: Masayu Ahmad Karya: Noraziah Othman 16/11/2017 Alhamdulillah syukur ke h...