Tuesday 23 May 2017

Cerpen Surat 2

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Mentor online: Masayu Ahmad
Teks: Noraziah Othman
Karya:Noraziah Othman

23.5.2017

          Perubahan layanan Sabri begitu ketara sekarang. Tidak lagi semesra seperti setahun yang lalu. Dia sudah jarang pulang awal dari pejabat. Selalu marah-marah bila Sheila lambat bawakan air minuman untuknya. Sheila cuba melayan Sabri sebaik mungkin. Dia tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri yang sentiasa menjaga hati dan perasaan suami. Tetapi segala perbuatan Sheila ada saja yang tidak kena di mata Sabri. Sheila sering berendam airmata, saiz badannya juga agak susut kerana kurang tidur.

          Sheila telah berhenti kerja sebagai pegawai kerja pemasaran di sebuah syarikat pembuatan pakaian kerana Sabri inginkan seorang isteri sepenuh masa di rumah. Bakal menjaga anak-anak sekiranya diberi oleh Allah. Liza juga sudah jarang menghubungi Sheila sejak dimarahi Sabri.

          "Hei Sheila! Apa khabar kau sekarang?"

          Sheila terperanjat disergah begitu. Wajahnya ceria tatkala melihat Liza di belakangnya sedang memegang beberapa beg plastik.

          "Liza? Lama tak dengar berita. Aku sihat. Liza... aku minta maaf atas kekasaran Sabri dulu. Tak sempat aku nak ucapkan maaf sebab Sabri dah rampas gagang telefon," cerita Sheila sambil memeluk bahu Liza dengan mesra.

          Liza hanya tersenyum. "Aku dah maafkan kamu berdua, okey. Kau sekarang nampak jauh lebih kuru. Kau sakit?"

          Sheila diam. Dia memalingkan muka.

          Liza memahami keadaan Sheila lalu tidak bertanya dengan lebih lanjut. "Mari kita ke Coffee House kat seberang jalan tu. Lama tak berborak dengan kawan baik aku ni," Liza menarik tangan Sheila yang hanya menurut langkah Liza.

          Setelah memesan minuman kegemaran masing-masing, Liza cuba mengorek rahsia hati sahabatnya itu. "Nwar dah kahwin", selamba saja Liza menyampaikan berita.

          "Liza, aku dah jadi isteri Sabri. Tak perlu lagi untuk aku tahu tentang lelaki lain. Lagipun Sabri tak pernah tahu tentang Nwar dan aku jadi lebih baik jika kisah lalu disimpan saja." Mohon Sheila penuh harapan.

          "Sabri layan kau dengan baik?"

          "Tak wajar aku bercerita tentang rumahtangga aku, Liza."

          "Aku hanya ingin mengambil berat. Aku risaukan kau, Sheila. Tapi aku hormati pendirian kau. Cuma aku mahu kau tahu yang aku sentiasa ada di sisi dan rumahku sentiasa terbuka buat kau," kata Liza dengan senyuman tawar. Dia bangun lalu meninggalkan Sheila sendirian.

          "Kemana kau pergi dari pagi sampai tengahari baru balik!" herdik Sabri sebaik sahaja kaki Sheila melangkah masuk rumah.

          Sheila terperanjat. Wajahnya pucat melihat keberangan Sabri. Keadaan bilik tamu bersepah. Sheila hanya menunduk dan membisu.

          Kebisuan Sheila menaikkan lagi kemarahan Sabri. "Hei! Aku tanya ni. Kau jangan nak tunjuk keras kepala." Kepala Sheila ditunjah.

          Sheila terinjak ke belakang. Matanya mula digenangi air. Jantungnya berdegup kencang. Dia cukup takut melihat Sabri tatkala itu.

          "Kau pergi jumpa jantan ni dibelakang aku ye!"

          Sekeping gambar dibaling mengenai muka Sheila. Pucat muka Sheila bila melihat gambar Anwar memeluk bahunya. 'Dari mana Sabri dapat gambar tu?' Fikirannya melayang ke kotak kecil di dalam almari baju.

          "Sekarang dah pandai berjumpa dengan jantan di luar ye! Kau keluar berpoya-poya tak ingat yang kau tu dah bersuami! Perempuan tak tahu malu!" Satu tamparan singgah ke pipi Sheila.

          "Abang... saya ke pasaraya saja. Kebetulan berjumpa dengan Liza. Kami berbual sebentar. Itu saja. Saya minta maaf sebab balik lewat," teresak-esak suara Sheila. Tangannya menyapu pipinya yang merah.

          "Kau jumpa Liza? Bukankah aku dah larang dari jumpa betina keparat tu? Baiklah... tapi siapa yang dalam gambar tu? Dan surat ni?" Sabri menggoyang-goyangkan sekeping surat berwarna merah jambu di hadapan muka Sheila.

          Sheila pantas mendongak. Surat Anwar berada di tangan suaminya.

          "Mengapa kau bernikah dengan aku kalau hati tak setuju? Apa yang fikirkan pasal aku? Pak sanggup kau? Patutlah sejak awal lagi kau tak mahu lahirkan zuriat aku. Mengapa kau tak kahwin saja dengan jantan ni? Kalau sekarang hati kau berbunga sebab aku dah tahu rahsia kau, biar aku beritahu ini, cita-cita kau nak bersama dengan dia tak akan tercapai. Sampai bila-bila pun aku tak akan lepaskan kau, faham!" Sabri keluar dari rumah dengan perasaan marah.

       

       

No comments:

Post a Comment

Entri 44 saya

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum wbt Mentor online: Masayu Ahmad Karya: Noraziah Othman 16/11/2017 Alhamdulillah syukur ke h...